Menurut Robiah (2002), proses belajar secara umumnya boleh merujuk kepada proses memahami sesuatu, proses membaca, berbincang dan bertukar-tukar pengalaman, proses menggunakan kecerdasan untuk menyesuaikan diri dengan alam sekeliling, proses mencari ilmu pengetahuan, proses mencuba yang baru dan lain-lain. Pengajaran pula merupakan proses yang dirancang dan dilaksanakan oleh pengajar untuk pelajar dan biasanya secara berdepan atau bersemuka yang bertujuan untuk merubah diri pelajar. Pembelajaran merujuk kepada proses merubah tingkah laku diri seseorang akibat ia mengalami peristiwa tertentu atau hasil tunjuk ajar oleh seseorang pengajar. Pembelajaran juga merupakan proses merubah tingkah laku yang aktif yang dilalui oleh seseorang individu khususnya apabila menerima maklumat dan pengalaman baru ia mengintepretasi atau membentuk makna tertentu berdasarkan persepsi, idea dan perasaannya sendiri.
Pengajaran dan pembelajaran berkesan mementingkan suatu hasil yang positif yang diperolehi oleh pelajar. Temubual yang dibuat dengan Prof Felder berkaitan strategi-strategi yang digunakan beliau untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran termasuklah penglibatan pelajar secara aktif semasa kuliah dan keperluan pelajar bekerja secara berkumpulan di dalam suasana yang selesa semasa kuliah (Cardellini 2002). Menurut beliau lagi kebanyakan pelajar adalah “sensing learners” iaitu suka kepada perkara-perkara yang benar-benar berlaku di sekeliling mereka dan tidak selesa sekiranya apa yang diajar tidak dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Prof Felder merupakan Pengarah bersama National Effective Teaching Institute, Amerika semenjak 1990 dan pernah memenangi beberapa anugerah kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Sistem pendidikan dan kaedah pengajaran yang berkesan adalah penting untuk menghasilkan pelajar yang terbaik. Pelajar hendaklah mampu menggunakan semula ilmu yang dipelajari, berkeupayaan berkomunikasi dengan yakin, berani menyuarakan pendapat dan berfikiran kritis. Pembelajaran berasaskan masalah
Apakah masalah yang dimaksudkan dalam PBL? Apa yang difahami ialah permasalahan atau persoalan yang diberikan kepada pelajar semasa proses pengajaran adalah sesuatu yang benar-benar berlaku di sekeliling mereka dan ia perlu diselesaikan dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang dipelajari,
samada dalam masa yang singkat ataupun panjang. Proses pembelajaran seperti ini memerlukan pelajar aktif di dalam kelas. Ini mungkin sukar untuk kelas yang besar iaitu yang melebihi 100 orang pelajar. Dalam proses menyelesaikan masalah ini, pelajar perlu bekerja dalam kumpulan yang kecil kerana mereka boleh bertukar-tukar pengetahuan dan saling membantu antara satu sama lain. Mereka bukan sahaja bergantung kepada buku teks semata-mata tetapi lebih daripada itu. Cara mereka menyelesaikan masalah adalah bergantung kepada kemahiran dan pengetahuan masing-masing.
No comments:
Post a Comment