Menurut Howard Gardner ( 1983 ), kecerdasan ruang melibatkan kebolehan-kebolehan melihat dunia “ visual spatial” dengan lebih tepat. Bilik darjah perlu disusun dengan baik bagi memastikan terdapat ruang yang cukup untuk guru dan juga pelajar melakukan aktiviti dengan selamat, selesa dan berkesan. Ini secara tidak langsung membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan seterusnya mencapai matlamat pnp tersebut.
Menurut Kenneth M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya Art, Artist dan Art Education menyatakan bahawa aktviti pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru menyampaikan pengajaran dengan baik dan menggunakan kaedah yang betul dan sesuai dapat memenuhi keperluan. Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertent dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Seni Dalam Pendidikan sebenarnya member peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh,bergerak dan berfikir dalam setiap aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menangani/ menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif.
Pelaksaan Seni Dalam Pendidikan di sekolah rendah perlulah merentasi semua matapelajaran. Guru matapelajaran hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran- kemahiran yang diperlukan. Perancangan aktiviti juga turut perlu diberi tumpuan demi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan berkesan. Guru hendaklah memainkan peranan dengan menggalakkan murid menggunakan sepenuhnya kelebihan diri mereka disamping guru menyediakan pelbagai aktiviti yang meransang minat kanak-kanak dan memenuhi keperluan murid-murid yang mempunyai kepelbagaian gaya belajar.
Tiga unsur dalam Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan juga pergerakan perlulah digabungkan dengan semaksimum mungkin bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan dan kreatif. Guru perlulah mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi meransang minda kanak-kanak sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah tersebut iaitu gabungan elemen seni dalam pendidikan, murid akan berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama dimana ianya lebih berpusatkan kepada guru.
Pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah boleh dilaksanakan dengan menggabungjalinkan mata pelajaran tertentu dengan unsur warna ( seni visual ), irama ( seni muzik ), dan seni pergerakan.sebagai contoh, dalam pengajaran matapelajaran sains dimana guru akan mengajar tajuk haiwan iaitu haiwan liar dan haiwan peliharaan kepada kanak-kanak. Guru boleh membawa kanak-kanak ke taman sains sekolah untuk melihat haiwan peliharaan yang terdapat di situ. Seterusnya kanak-kanak akan membuat pemerhatian, membuat catatan tentang ciri-ciri binatang yang dilihat dari aspek warna, tubuh badan, saiz dan sebagainya. Selain itu, kanak-kanak juga boleh melukis rupa bentuk binatang yang mereka lihat itu. Bimbingan daripada guru kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah perlulah diberikan. Kebebasan perlulah diberikan kepada murid untuk mereka menggunakan warna dan mencampurkan untuk mendapatkan hasil yang menarik dan kreatif. Pelajar juga dapat menggunakan daya imaginasi dan ingatan mereka dalam menghasilkan lukisan dan seterusnya dapat meningkatkan daya kreativiti mereka.
Setelah kajian yang dilakukan telah selesai dijalankan, guru boleh mengarahkan murid untuk membentang dapatan kajian yang mereka telah perolehi. Pembentangan boleh dilakukan secara berkumpulan. Setiap kumpulan boleh menggunakan setiap ruang yang ada dalam kelas dengan semaksimum mungkin dan menjalinkan bersama kreativiti mereka bagi menjadikan pembentangan tersebut menarik dan kreatif. Seterusnya setiap kumpulan akan membuat persembahan seperti menyanyi dan juga menari lagu yang berkaitan dengan haiwan yang telah mereka kaji. Mereka boleh membuat pergerakan dan bunyi haiwan yang telah mereka kaji. Perbincangan antara ahli kumpulan perlu dilakukan untuk menghasilkan satu bentuk persembahan yang menarik dan kreatif. Setiap kumpulan diberi kebebasan untuk mencipta irama yang akan digunakan untuk mengiringi persembahan mereka. Alatan yang berada di sekeliling boleh digunapakai untuk menghasilkan irama yang diinginkan. Mereka boleh meneroka bunyi-bunyian seperti bunyi botol kaca yang diketuk, bunyi tapak kasut, dan juga sebagainya. Pelajar perlulah mencuba dan menggunakan pelbagai alatan dan bahan sewaktu mengadakan persembahan bagi menjadikannya lebih menarik. Mereka akan berasa seronok menjalankan hasil kreativiti mereka sendiri.
Dari segi aspek ruang, pelajar perlulah menggunakan ruang yang ada dengan sebaik mungkin. Pemilihan ruang yang sesuai dengan aktiviti yang ingin dijalankan akan menjadikan persembahan lebih menarik. Sekiranya ruang yang diperlukan tidak mencukupi, mereka boleh mengubah kedudukan meja dan kerusi. Pengalaman yang diperolehi ini akan membantu pelajar dalam kreativiti mereka. Kesimpulannya, pengajaran yang berkonsepkan seni dalam pendidikan akan dapat membantu pelajar dalam meningkatkan daya keyakinan diri melalui penerokaan mereka sendiri terhadap apa yang ada disekeliling mereka.